KLANG 20 Ogos – Masalah bekalan air yang sering dihadapi kira-kira 1,200 pengguna di Pulau Ketam dijangka selesai sepenuhnya hujung tahun ini dengan siapnya projek penggantian paip air dasar laut sepanjang 5.6 kilometer dari Lebuh Raya Pulau Indah ke Pulau Kelang.
Projek pemasangan paip baharu terpanjang di Asia Tenggara itu menelan kos sebanyak RM38 juta yang dibiayai secara geran oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, selain jaminan bekalan air tidak terputus, kaedah penggerudian secara mendatar (HDD) yang digunakan dalam projek itu juga mesra alam dan tidak akan mengganggu ekosistem laut sedia ada.
“Di samping memastikan bekalan air yang berterusan tanpa gangguan, projek ini juga akan dapat membantu mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di Pulau Ketam.
“Pada masa ini, NRW di Pulau Ketam dianggarkan sangat tinggi iaitu melebihi 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Projek Penggantian Paip Dasar Laut Ke Pulau Ketam di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini semalam.
Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA), Ir. Noor Azahari Zainal Abidin.
Projek berkenaan yang sedang giat dilaksanakan oleh JBA bermula pada September 2013 dan kini 72 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya Jun tahun depan.
Ongkili memberitahu, beberapa kejadian paip pecah sebelum ini dikenal pasti berpunca daripada kerja-kerja mendalamkan Selat Kelang bagi kemudahan laluan perkapalan.
“Selain itu, kejadian juga disebabkan paip patah akibat sauh kapal tersangkut pada paip berkenaan,” ujarnya.
Pada 1992 di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar, paip air dasar laut dipasang dari Pulau Indah ke Pulau Ketam melalui Pulau Kelang.
Semasa fasa tersebut, bekalan air ke Pulau Ketam mengalami lima kes kebocoran paip yang serius.
Seterusnya pada 2008, kebocoran paip paling kritikal berlaku menyebabkan penduduk mengalami gangguan bekalan air selama tujuh hari dengan kos baik pulih mencecah hampir RM5 juta.
Kejadian kebocoran paip turut berlaku dari Jun hingga 20 Julai lalu yang memakan masa 30 hari dengan kos baik pulih sebanyak RM4.2 juta.